Wednesday, July 7, 2010

Membina blog


TAZKIRAH RINGKAS !!!!

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat nabi junjungan, Muhammad saw.. Sebaik-baik manusia, contoh teladan buat seluruh ummat hingga ke akhir zaman. Allahu Allah, ampunkanlah segala dosaku ya Allah, agar aku dapat ke syurga, bertemu dengan kekasih-Mu yang dirindui...

Sejak dia dilahirkan hingga kini namanya masih menjadi sebutan, sunnahnya diikuti, kata-katanya dipegang, ajarannya disebarkan hingga ke seluruh pelusuk dunia, Quran agung yang disampaikannya masuk ke hati-hati mereka yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Dunia gelap jadi cerah bercahaya, kerana dia pembawa obor, cahaya kebenaran, dialah insan yang paling Allah kasihi, dialah insan yang wajib kita cintai selepas Allah. Tanpa dia, kita tidak mungkin menikmati keindahan iman dan islam. Tanpa dia, kita tidak mungkin dapat mengenal Allah dan kekuasaan-Nya, tanpa dia yang menyampaikan, dunia ini pastinya kekal dalam kegelapan.

Syukur pada-Mu ya ALLAH, kerana mengizinkan aku menikmati keindahan Iman dan Islam.

Beribu tahun yang lalu, di tengah padang pasir, tanpa bangunan konkrit mencakar langit, tanpa alatan-alatan teknologi yang canggih, berdiri seorang insan, menyampaikan amanah Tuhannya.. Berbicara tentang peredaran planet-planet, tentang kejadian manusia dari segumpal darah, tentang proses pembentukan bumi, tentang kewajipan menyembah Allah, kewajipan meninggalkan berhala. Berbuat kebaikan dan tinggalkan riba. Melarang penindasan terhadap anak yatim dan hamba. Memartabatkan maruah wanita dan banyak lagi yang terang-terangan bertentangan dengan pegangan masyarakat pada zaman itu.

Bayangkan bagaimana sukarnya keadaan baginda pada waktu itu, bukan sahaja dituduh gila. Malahan dilontar batu dan najis, disakiti demi menyampaikan kebenaran. Dihina dan dipulaukan, malahan diancam bunuh. Bukan sedikit dugaan yang terpaksa diharungi, namun demi amanah Tuhannya, demi ummatnya, baginda tidak pernah sedikit pun berasa lemah, tidak pernah mengalah, tidak pernah berputus asa. Menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya melalui malaikat Jibrail dengan sepenuh hatinya, tidak pernah disembunyikannya walau cuma sepatah ayat.

Kesukaran demi kesukaran, serta pelbagai dugaan dan derita terpaksa ditempuhi oleh baginda dan kesemua yang mengabdikan diri kepada Allah, melafaz syahadah dan memeluk Islam. Mereka diseksa dan didera, dijemur ditengah panas, ditindih dengan batu, dibunuh dan dizalimi berterusan. Lebih menyedihkan apabila isteri dan bapa saudara tersayang, tunjang kekuatan baginda, Saidatina Khadijah dan Abu Talib pergi meninggalkannya. Airmata tumpah jua akhirnya. Baginda diselubungi kesedihan hingga akhirnya membawa kepada peristiwa hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Penghulu segala Nabi. Hidupnya untuk mengabdikan diri kepada ALlah, beribadat kepada Allah, menyampaikan perintah Allah, menegakkan kebenaran. Mengasihi dan merindui ummatnya sepenuh hati. Hinggakan, detik-detik akhir hidupnya, bukan jaminan syurga yang ingin didengar, tapi perkabaran tentang nasib ummatnya di akhirat kelak.. " ummatku..ummatku..ummatku.." di lafazkan berulang kali..

Kita bagaimana? Sedalam mana cinta kita?



~ Kekasih Yang Dirindu ~

Nazrey Johani

Aku duduk sendirian merindu
Pemergian seorang kekasih
Walau lama penantian ku ini
Aku yakin pasti bertemu

Aku tahu padanya tiada mungkin
Kerna itu bukanlah sifatnya
Di akhirat kan bersua lagi
Dengan mereka yang merinduinya

Kerna dia telah pun berjanji
Akan memberi syafaatnya nanti
Saat itu pasti kan terjadi
Pada umatnya yang bertakwa

Telah beribu tahun sudah berlalu
Keagungannya pernah berlaku
Sejarahnya akan berulang lagi
Sebelum tibanya kehancuran

Namun yang percaya hanyalah mereka
yang rindukan kekasih
Namun yang merindu hanyalah mereka
yang selalu berselawat

Ya nabi Ya rasul
Salamun alaik
Ya habib
Salamun alaik

No comments:

Post a Comment